Thursday 19 November 2009

Aku Makhluk Kecil tapi Apasal Korang Dengki Dengan Aku?


Aku makhluk yang kecil. Tiap-tiap hari aku akan keluar mencari sesuap nasi demi kelangsungan hidup aku dan anak-anak. Rezeki yang aku peroleh tak menentu. Kadang-kadang banyak kadang-kadang sedikit. Semuanya bergantung kepada keadaan persekitaranku. Lebih mencabar apabila musim sejuk tiba. Aku jarang keluar memandangkan cuaca yang boleh menyebabkan aku mengalamai kekejangan dan kadang kala boleh meragut nyawa kecilku. Sedih bukan?

Skop pencarian rezekiku luas sebenarnya. Aku hanya perlu berjalan-jalan mencari makanan yang ditinggalkan dan dibuang. Aku tidak mempunyai pekerjaan kerana tiada kualifikasi yang cukup untuk memohon apa-apa jawatan. Kegiatan mengutip sisa makanan aku kadang kala begitu rumit kerana ianya dihalang oleh sesetengah pihak yang aku kira dengki dengan cara hidup aku. Mungkin mereka dengki dengan ketabahan aku, mungkin juga mereka jijik dengan diri aku. Aku tak kisah semua itu.

Oleh kerana gangguan yang aku terima dari sesetengah pihak ini, aku lebih gemar keluar mencari makanan di kawasan yang gelap. Kawasan yang jarang-jarang dilalui orang lain. Secara automatiknya waktu kerja aku kebanyakannya di waktu malam. Ini kerana waktu-waktu sebegini orang lain akan nyenyak tidur dan tak perasan dengan kehadiranku. Alah, akhir zaman macam ni bukan ramai yang sanggup bangun solat malam. Kalau ada pun aku yakin mereka akan berlembut hati berkat ibadah mereka tadi. Aku suka waktu malam.

Namun begitu, kadangkala aku terpaksa juga keluar di waktu dan keadaan yang terang benderang kalau aku da terlampau kebulur. Kesian anak-anak aku. Walaubagaimanapun aku tetap mendidik anak-anakku sejak kecil agar pandai berdikari. Walaupun mereka masih kecil dan tidak mempunyai tubuh badan sekuat dan sebesar aku, mereka tetap akan dikerah untuk keluar mencari sesuap nasi. Bukan apa, kalau apa-apa terjadi padaku nanti sekurang-kurangnya mereka boleh hidup sendiri. Survival Instict orang puteh kata.

Walaupun aku kecil, aku punya ramai kawan seperjuangan. Mereka ini semua senasib denganku. Keluar mencari makanan bersama-sama, bergurau bersama-sama. Mereka ini ramai. Aku tak pernah merasa keseorangan. Aku tak pernah risau sebenarnya dengan keselamatan anak-anakku kerana aku tahu kalau aku tiada nanti mereka masih punya ramai pakcik makcik yang akan mendidik mereka. Ramai, bukan sedikit. Kami mungkin tidak punya kualiti tapi kami menang kuantiti.

Mereka-mereka yang dengki dengan puak kami ini semakin menjadi-jadi. Mereka bersungguh-sungguh nampaknya untuk menghapuskan kami secara total. Entah apa yang kami lakukan sehingga mereka begitu hasad dan marah kepada kami. Seolah-olah kami semua telah bunuh ahli keluarganya. Nampaknya mereka ini semakin berani. Sehinggalah satu hari mereka bertindak di luar dugaan dengan menggunakan senjata kimia ke atas kami. Adakah ini pengakhiran dunia? Mereka sewenang-wenangnya menggunakan senjata kimia. Nafas aku asesak, jantungku semakin lemah, kepalaku kusut, yang jelas hanyalah senyuman puas pemilik senjata kimia itu di sebalik asap putih yang memedihkan. Di tangan mereka aku sempat melihat silinder yang tertulis ATOM-B. Oh Tuhan, inikah kedahsyatan senjata atom? Mataku makin kabur, nafasku makin lemah...selamat tinggal anak-anak, selamat tinggal dunia.

****************************************************************************

"Haa, padan muka kau semua, suka-suka hati merayau-rayau dalam kawasan aku" Karim puas.

"Habis duit aku beli sembur serangga ni korang tau tak?? Mampus korang" Masrom rakan Karim menyambung.

Karim dan Masrom tersenyum puas melihat lipas-lipas yang disembur mereka bergelimpangan di lantai dapur. Maunya tidak, tiap-tiap hari merayap atas makanan dan bahan-bahan masakan mereka di dapur. Siapa tak tertekan? Perangai macam Bush, ujar Karim dalam hati.

1 comment:

  1. sedap intro ko nih.perjalanan cerita yg menarik.xbosan baca.macam khabir bhatia punya movie.-rokes

    ReplyDelete

autograf