Friday 20 November 2009

Karim, Masrom dan Telur Goreng


Malam itu Karim gelisah. Mengikut perkiraannya sudah lebih 23 jam dia tak menjamah nasik. Walaupun Karim memanjang kena herdik dengan Puan Katyal guru matematiknya di sekolah rendah dahulu kerana tak handal mengira, dalam bab mengira tempoh kelaparan Karim cukup hebat. Bagi Karim tak guna skor A matematik kalau perut lapar. Pelik juga pegangan Karim.

Karim membuka peti ais usang di dapur rumahnya. Karim lihat ada 2 biji telur ayam. Cukup untuk dimakan olehnya dan rakan serumahnya Masrom. Masrom pula kelihatan tersengih-sengih kepada Karim seolah-olah meminta penampar dari Karim yang sememangnya kebulur.

"Hah Karim, kau goreng telur, aku ambik kicap dari kotak kargo" Masrom memberi arahan tanpa disuruh.

Karim diam saja sambil mengeluarkan telur-telur tersebut dan terus membasuhnya di sinki. Ayah Karim pesan basuh dulu telur ayam sebelum masak. Karim anak soleh, sentiasa menuruti perintah ayah. Masrom tiba-tiba muncul masa Karim tengah goreng telur yang pertama. Macam Doraemon kau ni Masrom, getus Karim dalam hati. Karim lihat Masrom dah tak sabar-sabar gayanya.

"Ha, bak la sini pinggan kau, kebulur bebenar gayanya" kata Karim.

Masrom tersengih-sengih macam kerang smabil menghulurkan pinggan. Karim tak pentingkan diri sendiri. Baginya biarlah kawan kenyang dahulu, barulah perut sendiri diisi. Agaknya hati Karim mulia. Masrom berlari-lari anak ke ruang depan dengan pinggan berisi nasik kosong dan telur goreng sambil menyanyi lagu 'Tanya Sama Hati' dendangan P Ramlee.

Masrom....Masrom..... bisik hati kecil Karim menggeleng-gelengkan kepala dengan senyuman tersimpul. Gayanya tak ubah seperti seorang ayah yang seronok melihat gelagat anak kecilnya. Karim memang berbakat menjadi bapa.

Karim mula teruja masa nak mula menggoreng telur untuk dirinya. Cepat-cepat Karim capai telur yang siap dibasuh di sebelah sinki. Karim cuba pecahkan telur itu di bucu dapur gas. Malang sekali telur tersebut terlepas dari genggaman Karim yang kelihatan terlampau teruja dan tergopoh-gapah. Telur ayam yang asalnya berbentuk bulat menjadi leper di atas lantai. Karim terasa kakinya terkena bendalir melekit. Karim sayu.

Karim masih berfikiran optimis. Dia pernah ikut program motivasi masa sekolah dulu. Karim tak mudah patah semangat. Sesudah mengisi nasik ke dalam pinggan Karim menuju ke ruang depan. Harapannya agar Masrom berlembut hati dengannya nak berkongsi telur goreng. Belum lagi Karim menjejakkan kaki keluar dari dapur, Masrom terlebih dahulu masuk. Mulutnya berkesan-kesan minyak. Pinggannya juga tiada apa, yang ada hanya tinggal kesan-kesan minyak dan kicap. Laju betul Masrom makan nasik. Selalunya tak macam ini. Kebiasaanya Masrom akan menunggu Karim untuk makan bersama. Agaknya malam itu mungkin Masrom pun kebulur. Kau memang macam biawak Masrom, ujar hati kecil Karim sayu.

Karim kembali ke biliknya sambil menyanyikan lagu 'Di Mana Kan Ku Cari Ganti' perlahan-lahan. Hati Karim hancur malam itu. Tiba-tiba karim teringat neneknya pernah berkata 'tergopoh gapah membawa padah'.

Terima kasih nenek, bisik Karim sedih.

No comments:

Post a Comment

autograf