Friday 20 November 2009

Karim, Masrom dan Telur Goreng


Malam itu Karim gelisah. Mengikut perkiraannya sudah lebih 23 jam dia tak menjamah nasik. Walaupun Karim memanjang kena herdik dengan Puan Katyal guru matematiknya di sekolah rendah dahulu kerana tak handal mengira, dalam bab mengira tempoh kelaparan Karim cukup hebat. Bagi Karim tak guna skor A matematik kalau perut lapar. Pelik juga pegangan Karim.

Karim membuka peti ais usang di dapur rumahnya. Karim lihat ada 2 biji telur ayam. Cukup untuk dimakan olehnya dan rakan serumahnya Masrom. Masrom pula kelihatan tersengih-sengih kepada Karim seolah-olah meminta penampar dari Karim yang sememangnya kebulur.

"Hah Karim, kau goreng telur, aku ambik kicap dari kotak kargo" Masrom memberi arahan tanpa disuruh.

Karim diam saja sambil mengeluarkan telur-telur tersebut dan terus membasuhnya di sinki. Ayah Karim pesan basuh dulu telur ayam sebelum masak. Karim anak soleh, sentiasa menuruti perintah ayah. Masrom tiba-tiba muncul masa Karim tengah goreng telur yang pertama. Macam Doraemon kau ni Masrom, getus Karim dalam hati. Karim lihat Masrom dah tak sabar-sabar gayanya.

"Ha, bak la sini pinggan kau, kebulur bebenar gayanya" kata Karim.

Masrom tersengih-sengih macam kerang smabil menghulurkan pinggan. Karim tak pentingkan diri sendiri. Baginya biarlah kawan kenyang dahulu, barulah perut sendiri diisi. Agaknya hati Karim mulia. Masrom berlari-lari anak ke ruang depan dengan pinggan berisi nasik kosong dan telur goreng sambil menyanyi lagu 'Tanya Sama Hati' dendangan P Ramlee.

Masrom....Masrom..... bisik hati kecil Karim menggeleng-gelengkan kepala dengan senyuman tersimpul. Gayanya tak ubah seperti seorang ayah yang seronok melihat gelagat anak kecilnya. Karim memang berbakat menjadi bapa.

Karim mula teruja masa nak mula menggoreng telur untuk dirinya. Cepat-cepat Karim capai telur yang siap dibasuh di sebelah sinki. Karim cuba pecahkan telur itu di bucu dapur gas. Malang sekali telur tersebut terlepas dari genggaman Karim yang kelihatan terlampau teruja dan tergopoh-gapah. Telur ayam yang asalnya berbentuk bulat menjadi leper di atas lantai. Karim terasa kakinya terkena bendalir melekit. Karim sayu.

Karim masih berfikiran optimis. Dia pernah ikut program motivasi masa sekolah dulu. Karim tak mudah patah semangat. Sesudah mengisi nasik ke dalam pinggan Karim menuju ke ruang depan. Harapannya agar Masrom berlembut hati dengannya nak berkongsi telur goreng. Belum lagi Karim menjejakkan kaki keluar dari dapur, Masrom terlebih dahulu masuk. Mulutnya berkesan-kesan minyak. Pinggannya juga tiada apa, yang ada hanya tinggal kesan-kesan minyak dan kicap. Laju betul Masrom makan nasik. Selalunya tak macam ini. Kebiasaanya Masrom akan menunggu Karim untuk makan bersama. Agaknya malam itu mungkin Masrom pun kebulur. Kau memang macam biawak Masrom, ujar hati kecil Karim sayu.

Karim kembali ke biliknya sambil menyanyikan lagu 'Di Mana Kan Ku Cari Ganti' perlahan-lahan. Hati Karim hancur malam itu. Tiba-tiba karim teringat neneknya pernah berkata 'tergopoh gapah membawa padah'.

Terima kasih nenek, bisik Karim sedih.

Thursday 19 November 2009

Karim Membikin Filem Sulungnya


Karim baru sahaja selesai membikin sebuah filem arahannya sendiri. Skrip, montaj, penata cahaya dan microphone semua Karim yang setelkan. Karim tersenyum melihat review filem yang disiapkannya untuk disiarkan dalam majalah URTV.

*********************************************************************************

A Sad Tale of A Busker

Di Pawagam Berhampiran Anda

Sinopsis:

Masrom dan Karim merupakan dua sahabat yang berkongsi minat dan bakat yang sama dalam arena muzik. Mereka cuba mengetengahkan genre muzik berunsur nasihat dan kesedaran terhadap alam sekitar sepertimana Al Gore. Namun mesej yang disampaikan tidak mendapat sambutan masyarakat. Karim yang kecewa membawa diri dan bekerja sebagai penternak lipas sambilan di pasaran gelap. Masrom yang mengetahui kegiatan Karim cuba menghalangnya kerana penternakan lipas mampu menggugat sistem ekologi dan piramid makanan dunia. Namun Karim yang terus kecewa bertindak memperluaskan kegiatannya di pasaran gelap dan bercita-cita mahu menjadi seperti Al Capone dan Don Mafia. Mampukan Masrom membawa Karim kembali kepada jalan yang benar? Sebuah kisah tragis dan menyentuh hati dari Petisuara Production.

Original Sound Track:

Embuyat - My Fingerstyle Plucking (Superb No-One-Can-Challenge-Me Style)

******************************************************************************

Karim melelapkan mata sambil membayangkan dia memandu Dodge Charger dengan hasil kutipan filemnya. Karim tersenyum terbuai dalam angan-angannya. Karim harap filem ini mampu mengatasai Maria Mariana arahan Yusuf Haslam.

Aku Makhluk Kecil tapi Apasal Korang Dengki Dengan Aku?


Aku makhluk yang kecil. Tiap-tiap hari aku akan keluar mencari sesuap nasi demi kelangsungan hidup aku dan anak-anak. Rezeki yang aku peroleh tak menentu. Kadang-kadang banyak kadang-kadang sedikit. Semuanya bergantung kepada keadaan persekitaranku. Lebih mencabar apabila musim sejuk tiba. Aku jarang keluar memandangkan cuaca yang boleh menyebabkan aku mengalamai kekejangan dan kadang kala boleh meragut nyawa kecilku. Sedih bukan?

Skop pencarian rezekiku luas sebenarnya. Aku hanya perlu berjalan-jalan mencari makanan yang ditinggalkan dan dibuang. Aku tidak mempunyai pekerjaan kerana tiada kualifikasi yang cukup untuk memohon apa-apa jawatan. Kegiatan mengutip sisa makanan aku kadang kala begitu rumit kerana ianya dihalang oleh sesetengah pihak yang aku kira dengki dengan cara hidup aku. Mungkin mereka dengki dengan ketabahan aku, mungkin juga mereka jijik dengan diri aku. Aku tak kisah semua itu.

Oleh kerana gangguan yang aku terima dari sesetengah pihak ini, aku lebih gemar keluar mencari makanan di kawasan yang gelap. Kawasan yang jarang-jarang dilalui orang lain. Secara automatiknya waktu kerja aku kebanyakannya di waktu malam. Ini kerana waktu-waktu sebegini orang lain akan nyenyak tidur dan tak perasan dengan kehadiranku. Alah, akhir zaman macam ni bukan ramai yang sanggup bangun solat malam. Kalau ada pun aku yakin mereka akan berlembut hati berkat ibadah mereka tadi. Aku suka waktu malam.

Namun begitu, kadangkala aku terpaksa juga keluar di waktu dan keadaan yang terang benderang kalau aku da terlampau kebulur. Kesian anak-anak aku. Walaubagaimanapun aku tetap mendidik anak-anakku sejak kecil agar pandai berdikari. Walaupun mereka masih kecil dan tidak mempunyai tubuh badan sekuat dan sebesar aku, mereka tetap akan dikerah untuk keluar mencari sesuap nasi. Bukan apa, kalau apa-apa terjadi padaku nanti sekurang-kurangnya mereka boleh hidup sendiri. Survival Instict orang puteh kata.

Walaupun aku kecil, aku punya ramai kawan seperjuangan. Mereka ini semua senasib denganku. Keluar mencari makanan bersama-sama, bergurau bersama-sama. Mereka ini ramai. Aku tak pernah merasa keseorangan. Aku tak pernah risau sebenarnya dengan keselamatan anak-anakku kerana aku tahu kalau aku tiada nanti mereka masih punya ramai pakcik makcik yang akan mendidik mereka. Ramai, bukan sedikit. Kami mungkin tidak punya kualiti tapi kami menang kuantiti.

Mereka-mereka yang dengki dengan puak kami ini semakin menjadi-jadi. Mereka bersungguh-sungguh nampaknya untuk menghapuskan kami secara total. Entah apa yang kami lakukan sehingga mereka begitu hasad dan marah kepada kami. Seolah-olah kami semua telah bunuh ahli keluarganya. Nampaknya mereka ini semakin berani. Sehinggalah satu hari mereka bertindak di luar dugaan dengan menggunakan senjata kimia ke atas kami. Adakah ini pengakhiran dunia? Mereka sewenang-wenangnya menggunakan senjata kimia. Nafas aku asesak, jantungku semakin lemah, kepalaku kusut, yang jelas hanyalah senyuman puas pemilik senjata kimia itu di sebalik asap putih yang memedihkan. Di tangan mereka aku sempat melihat silinder yang tertulis ATOM-B. Oh Tuhan, inikah kedahsyatan senjata atom? Mataku makin kabur, nafasku makin lemah...selamat tinggal anak-anak, selamat tinggal dunia.

****************************************************************************

"Haa, padan muka kau semua, suka-suka hati merayau-rayau dalam kawasan aku" Karim puas.

"Habis duit aku beli sembur serangga ni korang tau tak?? Mampus korang" Masrom rakan Karim menyambung.

Karim dan Masrom tersenyum puas melihat lipas-lipas yang disembur mereka bergelimpangan di lantai dapur. Maunya tidak, tiap-tiap hari merayap atas makanan dan bahan-bahan masakan mereka di dapur. Siapa tak tertekan? Perangai macam Bush, ujar Karim dalam hati.