Thursday 3 December 2009

Kisah Karim dan belakang pintu biliknya

Karim menghitung hari. Percutiannya akan berakhir beberapa hari lagi. Beberapa hari lagi Karim akan memulakan hidupnya seperti biasa. Keluar rumah jam 8.30 pagi dan pulang semula lebih kurang jam 4.00 petang. Karim mengeluh. Bukan dia benci kehidupan seperti itu, tapi Karim lebih berjiwa mahu rilek-rilek. Jiwa muda kena enjoy, bak kata Masrom. Karim tahu prinsip itu tak boleh pakai punya, tapi Karim akur jiwanya kini cenderung ke arah itu. Karim menggelengkan kepala perlahan-lahan.

Percutian Karim kali ini tak jauh dari rumahnya. Hanya kira-kira setengah jam perjalanan dengan bas. Karim pulang ke rumahnya agak awal. Mahu mengemas bilik dan rumah katanya. Karim pernah tertonton motivasi pagi di tv3 secara tak sengaja. Encik motivasi cakap dengan membuat perubahan kepada persekitaran seperti mengemas bilik secara total mampu membangkitkan azam dan motivasi dalam jiwa. Walaupun Karim jarang mendengar motivasi tapi hatinya teringat kata-kata encik motivasi. Dia nekad mahu mengamalkan ajaran tersebut. Sampai di rumah, Karim lihat Masrom tengah tengok cerita Kal Ho Naa Ho. Segenggam tisu ada di tangan Masrom. Kau memang mat bunga tahi ayam Masrom, dah besar panjang layan hindustan menangis-nangis, Masrom... Masrom, getus hati kecil Karim.

Karim menggelengkan kepala melihat timbunan kain di belakang pintu biliknya. Macam bundle. Kelihatan baju Mickey Mouse milik Karim yang dibelinya tiga tahun dulu terselit dalam timbunan tersebut. Seingat Karim kali terakhir dia menggunakan baju itu kira-kira dua tahun sudah. Ini membuktikan hampir dua tahun Karim tak mengemas timbunan baju di belakang pintunya itu. Baju hujan milik Omar juga Karim lihat ada di situ. omar adalah rakan Karim yang agak tak berperasaan. Jika Karim atau sesiapa buat apa-apa pada Omar, dia tak pernah bertindak. Muka pun tak berubah. Dressing hari-hari pun steady saja tak pernah berubah. Sebeng bak kata kawan-kawan Jawa Karim. Karim pun kurang pasti apa maksud sebeng. Yang dia tahu maknanya menjurus kepada Omar.

Tanpa berfikir panjang Karim mengaut timbunan baju itu dengan tangannya. Macam bulldozer gayanya. Karim nekad nak buang semua baju-baju tersebut. Kalau basuh pun bau hapak takkan hilang rasanya. Macam sebeng baunya. Lagipun bagi seorang pembundle tegar seperti Karim, bila-bila masa sahaja Karim mampu membeli baju-baju yang cool di bundle dengan harga yang murah. Sambil meletakkan baju-baju lama ke dalam plastik hitam, Karim menyanyi lagu Sudirman - Toyol. Entah kenapa riang betul hatinya ketika itu. Namun 'if something goes without problem, indeed there's a problem' bak kata orang inggeris.

Darah Karim berderau sampai ke kepala. Tengkuknya terasa panas. Matanya terbeliak. Secara automatik Karim meloncat dan tanpa disuruh dia terus mendaki kerusi di plastik putihnya ynag selalu digunakan untuk meletakkan beg. Karim kaku atas kerusi tanpa mampu berbuat apa-apa.


"Masrom!!! Oo Masrom!!" laung Karim.


"Mai sini cepat!! Bawak spray lipas sekali!! Ni ada 5 ekor lipas besar kat belakang pintu aku ni!!" Karim makin gelabah bunyinya, macam makwe-makwe gelabah jumpe Dafi jambu.


Seketika Masrom muncul dengan spray serangga dan dengan selamba dia membunuh kelima-lima bapak lipas tersebut. Masrom ketawa berdekah-dekah melihat Karim yang seperti suri rumah ternampak tikus.


"Muka ganas, badan besar panjang, umur dah lanjut tapi takut lipas. Kau memang macam Nobita, Karim" sambung Masrom sambil ketawa bersungguh-sungguh.


Karim tersengih-sengih malu dan ikut ketawa bagi cover malu. Jauh di sudut hatinya Karim terasa sayu dengan dirinya. Karim takut lipas.

No comments:

Post a Comment

autograf