Monday, 7 December 2009

Malam itu Karim gelisah

Karim resah. Gelisah memikirkan nasibnya malam ini. Karim mengguling-gulingkan badannya ke kiri dan kanan. Semua serba tak kena. Musim sejuk di negara beriklim mediterranean ini sungguh mencabar mental dan fizikal Karim. Suhu di waktu malam agak kurang ajar bagi Karim. Tetapi itu bukanlah masalah utama Karim malam ini. Selimut tebal cap beruang polar made in U.A.E sentiasa menjadi penemannya.

Masrom sudah lama tidak sedarkan diri. Karim malas mengganggunya. Masrom kalau tidur memang tak ingat. Makwe-makwe datang bagi lauk pun belum tentu Masrom akan bangun buka pintu. Kadangkala Karim membuat analogi sendiri bahawa Masrom berasal dari keturunan beruang kutub. Namun cepat-cepat Karim beristighfar. Macam teori Darwin pula. Karim tahu teori Darwin sesat. Ustat dan pensyarahnya pernah kata.

Karim capai tetikus komputer peribadinya. File 'hiburan' dipilih. Matanya meliar mencari file mp3 Sudirman - Senja Berulang Senja. Karim tersenyum mendengar suara Sudriman di corong speaker buruknya. Merdu sungguh suara kau Sudirman. Minta maaf aku cemarkan lagu kau masa aku menyanyi karaoke box seringgit dulu, ujar Karim dalam hati. Setelah beberapa kali lagu di'play back', Karim terkebil-kebil di hadapan komputernya. Resah gelisah kembali lagi.

"Apa kejadahnya aku tidur lepas maghrib tadi, kan dah payah nak lelap. Esok ada kuliah, ni dah pukul 3 pagi..." Karim bercakap seorang diri.

Ya, Karim resah gelisah kerana masih tak dapat melelapkan matanya. Dia terfikir-fikir aktiviti yang boleh membuatkannya tertidur. Kadang kala idea mahu bersenam aerobik melintas di fikirannya. Apa gila mahu senam aerobik malam-malam buta ni? Cacat? Cepat-cepat Karim mengubah fikiran. Seketika mahu saja Karim mengejutkan Masrom suruh Masrom lempang sedas dua bagi senang tidur. Tapi bila Karim fikir semula, bukan sedas dua, maun kena tapak berserta amarah dengan Masrom nanti. Karim batalkan niat.

Kadang-kala Karim terfikir seronoknya jadi lipas-lipas, malam tak payah tidur jadi takde la pening kepala tak boleh tidur mcam aku. Karim lekas-lekas beristighfar.

Thursday, 3 December 2009

Kisah Karim dan belakang pintu biliknya

Karim menghitung hari. Percutiannya akan berakhir beberapa hari lagi. Beberapa hari lagi Karim akan memulakan hidupnya seperti biasa. Keluar rumah jam 8.30 pagi dan pulang semula lebih kurang jam 4.00 petang. Karim mengeluh. Bukan dia benci kehidupan seperti itu, tapi Karim lebih berjiwa mahu rilek-rilek. Jiwa muda kena enjoy, bak kata Masrom. Karim tahu prinsip itu tak boleh pakai punya, tapi Karim akur jiwanya kini cenderung ke arah itu. Karim menggelengkan kepala perlahan-lahan.

Percutian Karim kali ini tak jauh dari rumahnya. Hanya kira-kira setengah jam perjalanan dengan bas. Karim pulang ke rumahnya agak awal. Mahu mengemas bilik dan rumah katanya. Karim pernah tertonton motivasi pagi di tv3 secara tak sengaja. Encik motivasi cakap dengan membuat perubahan kepada persekitaran seperti mengemas bilik secara total mampu membangkitkan azam dan motivasi dalam jiwa. Walaupun Karim jarang mendengar motivasi tapi hatinya teringat kata-kata encik motivasi. Dia nekad mahu mengamalkan ajaran tersebut. Sampai di rumah, Karim lihat Masrom tengah tengok cerita Kal Ho Naa Ho. Segenggam tisu ada di tangan Masrom. Kau memang mat bunga tahi ayam Masrom, dah besar panjang layan hindustan menangis-nangis, Masrom... Masrom, getus hati kecil Karim.

Karim menggelengkan kepala melihat timbunan kain di belakang pintu biliknya. Macam bundle. Kelihatan baju Mickey Mouse milik Karim yang dibelinya tiga tahun dulu terselit dalam timbunan tersebut. Seingat Karim kali terakhir dia menggunakan baju itu kira-kira dua tahun sudah. Ini membuktikan hampir dua tahun Karim tak mengemas timbunan baju di belakang pintunya itu. Baju hujan milik Omar juga Karim lihat ada di situ. omar adalah rakan Karim yang agak tak berperasaan. Jika Karim atau sesiapa buat apa-apa pada Omar, dia tak pernah bertindak. Muka pun tak berubah. Dressing hari-hari pun steady saja tak pernah berubah. Sebeng bak kata kawan-kawan Jawa Karim. Karim pun kurang pasti apa maksud sebeng. Yang dia tahu maknanya menjurus kepada Omar.

Tanpa berfikir panjang Karim mengaut timbunan baju itu dengan tangannya. Macam bulldozer gayanya. Karim nekad nak buang semua baju-baju tersebut. Kalau basuh pun bau hapak takkan hilang rasanya. Macam sebeng baunya. Lagipun bagi seorang pembundle tegar seperti Karim, bila-bila masa sahaja Karim mampu membeli baju-baju yang cool di bundle dengan harga yang murah. Sambil meletakkan baju-baju lama ke dalam plastik hitam, Karim menyanyi lagu Sudirman - Toyol. Entah kenapa riang betul hatinya ketika itu. Namun 'if something goes without problem, indeed there's a problem' bak kata orang inggeris.

Darah Karim berderau sampai ke kepala. Tengkuknya terasa panas. Matanya terbeliak. Secara automatik Karim meloncat dan tanpa disuruh dia terus mendaki kerusi di plastik putihnya ynag selalu digunakan untuk meletakkan beg. Karim kaku atas kerusi tanpa mampu berbuat apa-apa.


"Masrom!!! Oo Masrom!!" laung Karim.


"Mai sini cepat!! Bawak spray lipas sekali!! Ni ada 5 ekor lipas besar kat belakang pintu aku ni!!" Karim makin gelabah bunyinya, macam makwe-makwe gelabah jumpe Dafi jambu.


Seketika Masrom muncul dengan spray serangga dan dengan selamba dia membunuh kelima-lima bapak lipas tersebut. Masrom ketawa berdekah-dekah melihat Karim yang seperti suri rumah ternampak tikus.


"Muka ganas, badan besar panjang, umur dah lanjut tapi takut lipas. Kau memang macam Nobita, Karim" sambung Masrom sambil ketawa bersungguh-sungguh.


Karim tersengih-sengih malu dan ikut ketawa bagi cover malu. Jauh di sudut hatinya Karim terasa sayu dengan dirinya. Karim takut lipas.

Friday, 20 November 2009

Karim, Masrom dan Telur Goreng


Malam itu Karim gelisah. Mengikut perkiraannya sudah lebih 23 jam dia tak menjamah nasik. Walaupun Karim memanjang kena herdik dengan Puan Katyal guru matematiknya di sekolah rendah dahulu kerana tak handal mengira, dalam bab mengira tempoh kelaparan Karim cukup hebat. Bagi Karim tak guna skor A matematik kalau perut lapar. Pelik juga pegangan Karim.

Karim membuka peti ais usang di dapur rumahnya. Karim lihat ada 2 biji telur ayam. Cukup untuk dimakan olehnya dan rakan serumahnya Masrom. Masrom pula kelihatan tersengih-sengih kepada Karim seolah-olah meminta penampar dari Karim yang sememangnya kebulur.

"Hah Karim, kau goreng telur, aku ambik kicap dari kotak kargo" Masrom memberi arahan tanpa disuruh.

Karim diam saja sambil mengeluarkan telur-telur tersebut dan terus membasuhnya di sinki. Ayah Karim pesan basuh dulu telur ayam sebelum masak. Karim anak soleh, sentiasa menuruti perintah ayah. Masrom tiba-tiba muncul masa Karim tengah goreng telur yang pertama. Macam Doraemon kau ni Masrom, getus Karim dalam hati. Karim lihat Masrom dah tak sabar-sabar gayanya.

"Ha, bak la sini pinggan kau, kebulur bebenar gayanya" kata Karim.

Masrom tersengih-sengih macam kerang smabil menghulurkan pinggan. Karim tak pentingkan diri sendiri. Baginya biarlah kawan kenyang dahulu, barulah perut sendiri diisi. Agaknya hati Karim mulia. Masrom berlari-lari anak ke ruang depan dengan pinggan berisi nasik kosong dan telur goreng sambil menyanyi lagu 'Tanya Sama Hati' dendangan P Ramlee.

Masrom....Masrom..... bisik hati kecil Karim menggeleng-gelengkan kepala dengan senyuman tersimpul. Gayanya tak ubah seperti seorang ayah yang seronok melihat gelagat anak kecilnya. Karim memang berbakat menjadi bapa.

Karim mula teruja masa nak mula menggoreng telur untuk dirinya. Cepat-cepat Karim capai telur yang siap dibasuh di sebelah sinki. Karim cuba pecahkan telur itu di bucu dapur gas. Malang sekali telur tersebut terlepas dari genggaman Karim yang kelihatan terlampau teruja dan tergopoh-gapah. Telur ayam yang asalnya berbentuk bulat menjadi leper di atas lantai. Karim terasa kakinya terkena bendalir melekit. Karim sayu.

Karim masih berfikiran optimis. Dia pernah ikut program motivasi masa sekolah dulu. Karim tak mudah patah semangat. Sesudah mengisi nasik ke dalam pinggan Karim menuju ke ruang depan. Harapannya agar Masrom berlembut hati dengannya nak berkongsi telur goreng. Belum lagi Karim menjejakkan kaki keluar dari dapur, Masrom terlebih dahulu masuk. Mulutnya berkesan-kesan minyak. Pinggannya juga tiada apa, yang ada hanya tinggal kesan-kesan minyak dan kicap. Laju betul Masrom makan nasik. Selalunya tak macam ini. Kebiasaanya Masrom akan menunggu Karim untuk makan bersama. Agaknya malam itu mungkin Masrom pun kebulur. Kau memang macam biawak Masrom, ujar hati kecil Karim sayu.

Karim kembali ke biliknya sambil menyanyikan lagu 'Di Mana Kan Ku Cari Ganti' perlahan-lahan. Hati Karim hancur malam itu. Tiba-tiba karim teringat neneknya pernah berkata 'tergopoh gapah membawa padah'.

Terima kasih nenek, bisik Karim sedih.

Thursday, 19 November 2009

Karim Membikin Filem Sulungnya


Karim baru sahaja selesai membikin sebuah filem arahannya sendiri. Skrip, montaj, penata cahaya dan microphone semua Karim yang setelkan. Karim tersenyum melihat review filem yang disiapkannya untuk disiarkan dalam majalah URTV.

*********************************************************************************

A Sad Tale of A Busker

Di Pawagam Berhampiran Anda

Sinopsis:

Masrom dan Karim merupakan dua sahabat yang berkongsi minat dan bakat yang sama dalam arena muzik. Mereka cuba mengetengahkan genre muzik berunsur nasihat dan kesedaran terhadap alam sekitar sepertimana Al Gore. Namun mesej yang disampaikan tidak mendapat sambutan masyarakat. Karim yang kecewa membawa diri dan bekerja sebagai penternak lipas sambilan di pasaran gelap. Masrom yang mengetahui kegiatan Karim cuba menghalangnya kerana penternakan lipas mampu menggugat sistem ekologi dan piramid makanan dunia. Namun Karim yang terus kecewa bertindak memperluaskan kegiatannya di pasaran gelap dan bercita-cita mahu menjadi seperti Al Capone dan Don Mafia. Mampukan Masrom membawa Karim kembali kepada jalan yang benar? Sebuah kisah tragis dan menyentuh hati dari Petisuara Production.

Original Sound Track:

Embuyat - My Fingerstyle Plucking (Superb No-One-Can-Challenge-Me Style)

******************************************************************************

Karim melelapkan mata sambil membayangkan dia memandu Dodge Charger dengan hasil kutipan filemnya. Karim tersenyum terbuai dalam angan-angannya. Karim harap filem ini mampu mengatasai Maria Mariana arahan Yusuf Haslam.

Aku Makhluk Kecil tapi Apasal Korang Dengki Dengan Aku?


Aku makhluk yang kecil. Tiap-tiap hari aku akan keluar mencari sesuap nasi demi kelangsungan hidup aku dan anak-anak. Rezeki yang aku peroleh tak menentu. Kadang-kadang banyak kadang-kadang sedikit. Semuanya bergantung kepada keadaan persekitaranku. Lebih mencabar apabila musim sejuk tiba. Aku jarang keluar memandangkan cuaca yang boleh menyebabkan aku mengalamai kekejangan dan kadang kala boleh meragut nyawa kecilku. Sedih bukan?

Skop pencarian rezekiku luas sebenarnya. Aku hanya perlu berjalan-jalan mencari makanan yang ditinggalkan dan dibuang. Aku tidak mempunyai pekerjaan kerana tiada kualifikasi yang cukup untuk memohon apa-apa jawatan. Kegiatan mengutip sisa makanan aku kadang kala begitu rumit kerana ianya dihalang oleh sesetengah pihak yang aku kira dengki dengan cara hidup aku. Mungkin mereka dengki dengan ketabahan aku, mungkin juga mereka jijik dengan diri aku. Aku tak kisah semua itu.

Oleh kerana gangguan yang aku terima dari sesetengah pihak ini, aku lebih gemar keluar mencari makanan di kawasan yang gelap. Kawasan yang jarang-jarang dilalui orang lain. Secara automatiknya waktu kerja aku kebanyakannya di waktu malam. Ini kerana waktu-waktu sebegini orang lain akan nyenyak tidur dan tak perasan dengan kehadiranku. Alah, akhir zaman macam ni bukan ramai yang sanggup bangun solat malam. Kalau ada pun aku yakin mereka akan berlembut hati berkat ibadah mereka tadi. Aku suka waktu malam.

Namun begitu, kadangkala aku terpaksa juga keluar di waktu dan keadaan yang terang benderang kalau aku da terlampau kebulur. Kesian anak-anak aku. Walaubagaimanapun aku tetap mendidik anak-anakku sejak kecil agar pandai berdikari. Walaupun mereka masih kecil dan tidak mempunyai tubuh badan sekuat dan sebesar aku, mereka tetap akan dikerah untuk keluar mencari sesuap nasi. Bukan apa, kalau apa-apa terjadi padaku nanti sekurang-kurangnya mereka boleh hidup sendiri. Survival Instict orang puteh kata.

Walaupun aku kecil, aku punya ramai kawan seperjuangan. Mereka ini semua senasib denganku. Keluar mencari makanan bersama-sama, bergurau bersama-sama. Mereka ini ramai. Aku tak pernah merasa keseorangan. Aku tak pernah risau sebenarnya dengan keselamatan anak-anakku kerana aku tahu kalau aku tiada nanti mereka masih punya ramai pakcik makcik yang akan mendidik mereka. Ramai, bukan sedikit. Kami mungkin tidak punya kualiti tapi kami menang kuantiti.

Mereka-mereka yang dengki dengan puak kami ini semakin menjadi-jadi. Mereka bersungguh-sungguh nampaknya untuk menghapuskan kami secara total. Entah apa yang kami lakukan sehingga mereka begitu hasad dan marah kepada kami. Seolah-olah kami semua telah bunuh ahli keluarganya. Nampaknya mereka ini semakin berani. Sehinggalah satu hari mereka bertindak di luar dugaan dengan menggunakan senjata kimia ke atas kami. Adakah ini pengakhiran dunia? Mereka sewenang-wenangnya menggunakan senjata kimia. Nafas aku asesak, jantungku semakin lemah, kepalaku kusut, yang jelas hanyalah senyuman puas pemilik senjata kimia itu di sebalik asap putih yang memedihkan. Di tangan mereka aku sempat melihat silinder yang tertulis ATOM-B. Oh Tuhan, inikah kedahsyatan senjata atom? Mataku makin kabur, nafasku makin lemah...selamat tinggal anak-anak, selamat tinggal dunia.

****************************************************************************

"Haa, padan muka kau semua, suka-suka hati merayau-rayau dalam kawasan aku" Karim puas.

"Habis duit aku beli sembur serangga ni korang tau tak?? Mampus korang" Masrom rakan Karim menyambung.

Karim dan Masrom tersenyum puas melihat lipas-lipas yang disembur mereka bergelimpangan di lantai dapur. Maunya tidak, tiap-tiap hari merayap atas makanan dan bahan-bahan masakan mereka di dapur. Siapa tak tertekan? Perangai macam Bush, ujar Karim dalam hati.